Assalamualaikum

Jangan Persoalkan Dan Berhenti Buat Kerja Tuhan | Bila diam seribu bahasa, orang kata tak pandai bergaul. Bila jarang tunjuk muka, orang kata sombong. Bila kita ikut serta, pelbagai soalan dan kritikan yang kita akan dapat. Susah betul nak puaskan hati semua orang.

Bila mengadu, orang suruh kita bertenang. Katanya orang sekadar bertanya. Tetapi hati kita, tiada siapa yang tahu. Soalan yang nampak simple tetapi boleh buat hati kita merana.

Ada soalan yang boleh kita persoalkan dan ada soalan yang perlu kita diamkan. Kerana kadang kala soalan itu yang buatkan jiwa seseorang merintih kesedihan.

Banyak betul ujian hidup kan? Aku dan suami dah move on pasal zuriat. Kalau ikutkan, aku dan suami terlalu menginginkan zuriat, akan tetapi Allah swt belum kurniakan kerana belum tiba waktu yang sesuai. Kami redha dengan ketentuanNya. Siapa aku untuk persoalkan kerjaNya?

Tipu kalau aku kata masih belum berharap. Setiap kali aku terdetik tentang zuriat, aku akan tenangkan hati. Aku tahu masanya akan tiba nanti. Rezeki, ajal dan maut itu semua di tanganNya. Tidak akan cepat atau lambat walaupun sesaat.

Aku tahu aku tak boleh nak tutup mulut orang. Tapi aku berharap manusia disekeliling aku ada sedikit empati. Jangan kerap bertanya soalan berkaitan anak. Bagi sesetengah orang, soalan berkaitan anak ini sangat sensitif. Kita sibuk bertanya walhal kita tak tahu macam mereka berusaha untuk dapatkan anak.

Tetapi kalau terlalu teringin untuk bertanya, tanya lah soalan itu pada tuan badan. Bukan pada orang lain yang boleh menyebabkan menjadi buah mulut. Selagi kita tidak berada di dalam kasutnya, jangan persoalkan dan BERHENTI BUAT KERJA TUHAN!