Assalamualaikum


#takemeanywhere Dalam Program Jelajah Pesona Selangor 2020 | Bila sebut negeri Selangor, mesti ramai yang ingat Kuala Lumpur. Nak ke mana? Kuala Lumpur.. Kuala Lumpur kat mana? Ampang. Ehh! Ampang tu Selangor tau!

Selangor nie ibarat transit. Ramai yang ke Selangor tapi taktahu apa yang menariknya di Selangor. Bila pergi ke Selangor, mesti akan shopping mall sedangkan banyak lagi tempat menarik yang boleh dijadikan sasaran tempat melancong tau!

Seiring dengan Pandemik Covid19 yang menggegar dunia telah memberi kesan negatif kepada industri pelancongan negara. Tapi bila diumumkan pembukaan semula sektor pelancongan domestik telah memberi sinar baru kepada industri pelancongan.

Dalam menyemarakkan usaha proaktif ke arah penetapan semula industri pelancongan Negeri Selangor atau visi “reset tourism”, Tourism Selangor selaku Agensi Promosi Pelancongan Rasmi Negeri Selangor sedang giat menggerakkan sebuah Kempen Promosi Pelancongan Domestik; Pusing Selangor Dulu.

Tourism Selangor mengorak langkah pasca pandemik Covid-19 dengan penganjuran Program Jelajah Pesona Selangor 2020 Edisi ‘Nak Bercuti, Pusing Selangor Dulu’ ke Negeri Terengganu Darul Iman pada 22 September 2020. Program ini disertai oleh delegasi dari Negeri Selangor yang terdiri dari wakil daripada Pejabat EXCO Pelancongan Negeri Selangor, Tourism Selangor, MATTA Selangor, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), dan empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor iaitu Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Daerah Kuala Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor.


Program pada hari tersebut turut menyaksikan penglibatan oleh 9 operator produk pelancongan Negeri Selangor seperti Sunway Lagoon, Sunway Resort Hotel & Spa, Farm in the City, Chocolate Museum, GM Klang, Sky Mirror Tour & Travel, Persatuan Homestay Selangor, Selangor Fruit Valley dan JumpStreet Asia.


Tuan Azrul Shah bin Mohamad, Pengurus Besar Tourism Selangor dalam sebuah kenyataan berkata, 

“Program Jelajah Pesona Selangor 2020 ini merupakan sebuah landasan terbaik bagi memperkenalkan Negeri Selangor sebagai destinasi percutian unggul yang sarat dengan produk pelancongan menarik sama ada yang baharu mahupun sedia ada”.

“Diharap kerjasama pintar ini dapat memberi manfaat bersama yang akan memakmurkan lagi industri pelancongan ke tahap terulung. Hal ini secara tidak langsung akan membuka peluang yang lebih luas dalam usaha mempergiat Pelan Promosi Pelancongan bagi menggalakkan lebih ramai kemasukan pelancong domestik, khususnya ke Negeri Selangor Darul Ehsan”, tambah Tuan Azrul Shah.

Seiring dengan Kempen Pusing Selangor Dulu yang giat dipromosi di laman media sosial rasmi Tourism Selangor seperti di Facebook, Instagram, Twitter dan LinkedIn; Program Jelajah Pesona Selangor 2020 merupakan sebuah penambahan yang signifikan kepada Pelan Promosi Pelancongan Tourism Selangor kerana potensi besar yang dimilikinya dalam memperkenalkan Negeri Selangor sebagai sebuah destinasi pelancongan pilihan di Malaysia.


Apa yang lebih menarik, penglibatan operator produk pelancongan Negeri Selangor dalam Program Jelajah Pesona Selangor 2020 ini membolehkan sesi promosi dan pengenalan produk dilakukan secara terus kepada penggiat industri pelancongan. Hasil perkongsian dijangka dapat disampaikan kepada golongan sasar yang terdiri dari pelancong tempatan yang bermastautin luar dari Negeri Selangor - penyumbang kepada peningkatan ekonomi Negeri menerusi dapatan industri pelancongan.

Untuk informasi lanjut tentang inisiatif Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor dan juga produk pelancongan terbaharu dan sedia-ada di Negeri Selangor, layari laman sesawang baharu Tourism Selangor, Selangor.travel yang ditambah-baik dengan fungsi terkini untuk sebuah pengalaman digital yang komprehensif.