5 Tahun Perkahwinan: Tak Sempurna Tapi Masih Kita

Assalamualaikum

5 Tahun Perkahwinan Yang Tak Sempurna Tapi Masih Kita | Tak sangka, perjalanan yang dulu baru nak bermula, hari ini dah sampai ke satu lagi fasa. Bila fikir balik, macam-macam yang kita dah lalui bersama. Ada hari yang buat kita ketawa sampai sakit perut, ada hari yang buat kita menangis, ada masa semuanya terasa mudah dan ada masa masing-masing terlalu penat dengan hidup. Tapi dalam semua keadaan tu, orang yang sama juga masih ada di sebelah aku.

Dulu kita masuk dalam perkahwinan dengan macam-macam harapan. Ingatkan lepas kahwin nanti semuanya akan jadi lebih romantik, dating selalu, makan sedap-sedap. Tapi realitinya? Kadang-kadang dating pun dekat kedai makan biasa. Nak keluar fikir minyak kereta, nak makan fikir bajet, nak beli benda pun fikir banyak kali. Tapi lama-lama aku belajar yang bahagia sebenarnya tak semestinya datang daripada benda besar. Kadang-kadang cukup dengan duduk sebelah-sebelah, makan bersama, gelak benda bodoh yang hanya kita berdua faham atau sekadar tahu yang ada seseorang di sisi bila hari terasa berat.

Kalau nak senaraikan semua benda yang aku nak ucapkan terima kasih dekat suami, mungkin entry ni boleh jadi novel. Tapi yang paling aku nak dia tahu, terima kasih sebab selalu ada. Terima kasih sebab tetap ada dalam hari-hari aku yang baik dan yang tak berapa baik. Terima kasih sebab layan perangai aku, dengar aku membebel walaupun kadang-kadang aku sendiri tak tahu point cerita aku dekat mana. Aku mungkin tak selalu pandai tunjuk atau cakap tapi aku sangat menghargai kehadiran dia dalam hidup aku.

Aku tak nak kata perkahwinan aku sempurna sebab memang tak. Kita pun manusia biasa. Ada masa aku kena faham dia, ada masa dia kena faham aku dan ada masa, dua-dua kena diam dulu sebab kalau terus bercakap, mungkin perang dunia ketiga. Tapi semua tu mengajar aku bahawa perkahwinan bukan tentang mencari pasangan yang sempurna. Ia tentang belajar menerima, memahami, bertolak ansur dan tetap memilih untuk cuba lagi walaupun ada hari yang tak mudah.

Bila aku pandang semula semua yang dah kita lalui, aku rasa ada satu perkara yang aku boleh banggakan. Aku berjaya melalui fasa lima tahun pertama perkahwinan ini. Bukan kerana semuanya mudah tetapi kerana setiap perkara yang datang, kita cuba lalui bersama. Ada yang menguatkan kita, ada yang mengajar kita dan ada yang membuatkan kita lebih menghargai satu sama lain. Dan bila sampai di sini, aku cuma mampu cakap Alhamdulillah, aku sampai juga ke fasa ini dengan dia.

Aku tak tahu apa yang menunggu kita selepas ini. Mungkin ada lebih banyak impian yang perlu dikejar, lebih banyak perkara yang perlu kita belajar dan mungkin ada juga ujian yang belum kita tahu. Tapi aku harap, apa pun yang datang, kita masih kita. Masih boleh ketawa benda bodoh, makan sama-sama, bergaduh benda remeh dan kemudian cari satu sama lain balik. Aku tak minta hidup yang sempurna. Aku cuma berharap bila suatu hari nanti kita pandang ke belakang, kita boleh cakap, “ Penat juga perjalanan kita tapi berbaloi sebab kita lalui semuanya bersama. ”.

Dan untuk satu doa yang masih kita simpan kemas dalam hati, semoga Allah swt hadirkan pada waktu yang paling indah dan dengan cara yang paling baik. Semoga suatu hari nanti, rumah yang kita bina ini bukan sahaja dipenuhi dengan gelak tawa kita berdua tetapi juga dengan suara kecil yang selama ini kita nantikan. Semoga Allah rezekikan kita zuriat yang baik, sihat tubuh badan, cerdik akal fikiran dan menjadi penyejuk hati pada waktu yang tepat dan saat kita benar-benar bersedia.

Happy Anniversary, abang. Terima kasih kerana tetap memilih untuk berjalan dengan aku. Semoga selepas ini lebih banyak rezeki, ketenangan, kebahagiaan dan perkara-perkara yang selama ini kita simpan dalam doa. Tak perlu tergesa-gesa. Kita jalan perlahan-lahan, satu-satu, sama-sama.

Terima kasih kerana masih menjadi rumah untuk aku pulang.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post